Pelakon teater Kontena 404, Miera Leyana terkejut apabila dikatakan bersubahat dengan kes penipuan pembelian rumah membabitkan syarikat DBI Properties milik Datuk Boy Iman.

Lebih terkilan apabila pelakon yang terbabit dalam produksi teater bawah syarikat DBI Entertainment Sdn. Bhd. itu dituduh makan duit haram.

"Nauzubillah. Setiap daripada kita yang berlakon atau bekerja dalam apa juga bidang ada nawaitu.

"Saya nak berlakon dan tidak pernah sedikit pun menyimpan niat untuk buat perkara seperti itu. Saya mahu rezeki yang diperoleh daripada sumber yang halal.

"Lagipun, tawaran untuk berlakon teater ini saya dapat sejak dua bulan lalu sedangkan isu ini baru terjadi," katanya yang ditemui selepas sidang media teater Kontena 404 - Jangan Main Main di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Kata Miera yang pernah membintangi Teater Tun Siti Hasmah lima tahun lalu, dia sedih apabila ada segelintir individu yang menghukum produksi teater Kontena 404 hingga ada yang mahu memboikot naskhah lakonannya.

"Saya sedih apabila ada pihak yang terlalu ekstrim mahu memboikot teater ini. Apa salah kami?

"Kami sudah melakukan sehabis baik sebagai pelakon dan tidak adil untuk menghukum kami atas kesalahan yang orang lain lakukan," tambahnya.

Selain Miera, teater Kontena 404 turut dibintangi oleh Izreen Azminda, Adam AF, Tauke dan Rani Kulop.

Teater komedi seram itu akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 22 Oktober depan. Tiket berharga RM34, RM64 dan RM94 boleh didapati di www.ilassotickets.com.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @mieraleyana