Cef Selebriti dan penyanyi popular Datuk Fazley berkongsi kegembiraan dengan kelahiran cahaya mata keempatnya, semalam.

Menerusi entri yang dimuat naik di Instagram semalam, Fazley turut mengucapkan rasa syukur kerana telah dikurniakan seorang puteri selepas enam tahun menunggu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dirinya dan isteri selama ini.

Fazley ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu, puterinya itu dilahirkan pada jam 4 petang semalam di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, impian saya bersama isteri untuk menimang cahaya mata perempuan termakbul hari ini selepas menanti dalam tempoh panjang.

“Saya bakal mengumumkan nama anak tidak lama lagi. Cuma saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai hal ini demi menghormati pemintaan isteri dan ibu,” katanya.

Alhamdulilah.. anak ke-4 saya, seorang Puteri akhirnya. Syukur syukur syukur! ?Terima kasih semua yang mendoakan! Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakbar cc Happy Mama @azrene_ahmad

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on

Fazley dan isteri, Datin Azrene Ahmad, 38, yang mendirikan rumah tangga pada 7 November 2006 telah dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Ahmad Fariedz, 9, Ahmad Fieradz, 7 dan Ahmad Fierudz, 6.

Dalam perkembangan lain, Fazley kini sedang menjalani penggambaran musim kedua program masakan sebanyak 13 episod berjudul Ketuhar Antarabangsa di Chennai, India selama dua minggu.

Program yang melibatkan tenaga produksi dari negara itu menampilkan kerjasama 13 cef ternama dari Chennai dengan Fazley bertindak sebagai hos, cef segmen khas dan pengarah.

Menariknya, para pelajar tahun kedua kursus Ijazah Sarjana Muda Surgeri Pergigian dari Malaysia yang menuntut di Hospital Kolej Perubatan Meenakshi Ammal di sini turut menyaksikan penggambaran program tersebut hari ini.

Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga sedang mempertimbangkan tawaran memegang watak kemunculan khas bagi sebuah filem Tamil yang sedang menjalani penggambaran di sini di samping Mauritius tidak lama lagi.

Foto: Instagram Datuk Fazley