Pengarah teater Kontena 404 - Jangan Main Main, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman berharap agar sesi latihan dan pementasan teater itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Kata Raja Azrey, walaupun pelbagai dugaan dan kontroversi berlaku sejak awal minggu ini, hal itu tidak sesekali melemahkan semangat produksi teater berkenaan.

"Gangguan yang dimaksudkan melibatkan keseluruhan proses produksi misalnya artis tidak sihat, masalah teknikal dan semua proses berjalan dengan lancar.

"Saya individu paling dekat dengan artis dan tenaga produksi, apa yang kami lakukan tidak membabitkan individu luar.

"Kami tidak tertekan dengan apa yang terjadi dan seperkara yang kami harapkan agar pementasan teater ini sukses," katanya pada sidang media teater Kontena 404 - Jangan Main Main di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Teater Kontena 404 - Jangan Main Main lakonan Miera Leyana, Tauke, Rani Kulop, Izreen Azminda dan Adam AF itu mendapat petisyen daripada orang ramai agar dihentikan susulan kes penipuan pembelian rumah membabitkan syarikat DBI Properties milik Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 37.

Walaupun wakil DBI Entertainment menegaskan syarikat berkenaan tiada kaitan dengan DBI Properties, namun daripada hebahan awal teater terbabit, pihak produksi pernah menyatakan Boy Iman adalah penerbit bagi pementasan itu.

Teater komedi seram itu akan dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 20 hingga 22 Oktober depan. Tiket berharga RM34, RM64 dan RM94 boleh didapati di www.ilassotickets.com.

Teks oleh: Amri Hassan