Penyanyi dan komposer Faizal Tahir mencipta rekod tersendiri apabila dicalonkan kali kedua dalam Anugerah MTV EMA (Europe Music Awards) dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Warner Music Malaysia, Faizal bakal bersaing dengan lima lagi calon dalam kategori sama iaitu Isyana Sarasvati (Indonesia), The Sam Willows (Singapore), Slot Machine (Thailand), Palitchoke Ayanaputra (Thailand), James Reid (Philippines) dan Dam Vinh Hung (Vietnam).

Kemunculan semula Faizal menerusi album Anatomi pada November 2016 lepas telah menjadi bahan bualan hangat kerana kerja kerasnya yang sanggup menjelajah ke tiga buah negeri dalam masa tiga hari demi melancarkan album tersebut.

Kesungguhan Faizal berbaloi kerana Anatomi mendapat sambutan hangat daripada peminat sehingga melayakkannya dicalonkan dalam kategori berkenaan.

Anda sudah boleh mula mengundi Faizal Tahir untuk kategori tersebut melalui laman web rasmi MTV EMA di http://www.mtvema.com/en-asia/artists/i9m2j0/faizal-tahir

Pengundian bagi calon-calon dalam kategori ini telah bermula pada 4 Oktober dan akan berakhir pada 11 November 2017.

Jadi, kepada rakyat Malaysia tunggu apa lagi, jom undi artis unggul kita Faizal Tahir. Semoga Faizal dapat mencipta sejarah dan mengharumkan nama Malaysia dalam arena industri muzik dunia.

MTV Europe Music Awards (EMA) ini dipersembahkan oleh MTV Networks Europe untuk memberi penghargaan kepada para pemuzik dan juga para penghibur.

Anugerah MTV EMA (Europe Music Award) ini akan bersiaran secara langsung dari London pada hari Isnin, 13 November 2017.