Berikutan isu bercium dengan pelakon Fattah Amin ketika penggambaran drama adaptasi Korea, Coffee Prince baru-baru ini, Janna Nick tampil memberikan penjelasan.

Janna, 22, berkata adegan cium dia dan Fattah itu merupakan babak komedi bukan untuk menimbulkan kegersangan kepada penonton.

Katanya lagi, dia dan Fattah tidak bersentuhan langsung cuma sudut yang diambil daripada telefon bimbit pelakon Fara Mendoza yang membuatkan ia nampak seperti sedang bercium.

“Kalau tengok daripada ‘angle’ kamera pihak produksi yang di ambil dari depan, jelas kelihatan kami tidak bersentuhan, apatah lagi bercium. Jarak kami ketika itu 10 sentimeter.

“Itu adegan dua sahabat lelaki sedang mengusik antara satu dengan yang lain. Takkanlah dalam drama tu nak tunjuk lelaki bercium dengan lelaki.

“Lagipun sebagai pelakon saya ada hak untuk menentukan babak yang ingin dilakukan. Kalau saya rasa perkara itu salah, saya sendiri akan menolak daripada melakukannya," katanya kepada Astro Gempak.

Janna berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama Dia, di One Utama, Bandar Utama Damansara, pada Rabu.

Drama bersiri Dia akan disiarkan pada setiap Jumaat hingga Ahad, pada pukul 9 malam, bermula 14 Oktober ini di saluran TV3.

Selain Janna, drama itu juga turut menampilkan pelakon hebat seperti Irwansyah, Izara Aishah dan ramai lagi.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto Instagram : Janna Nick