Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A. Rahman atau Boy Iman, bersama dua suspek kes penipuan perumahan kos rendah melibatkan jumlah kerugian RM6.2 juta telah bebas tahanan reman pada petang tadi (Rabu).

Bagaimanapun kesemua mereka ditahan semula dan dibawa ke dua negeri berasingan untuk siasatan lanjut.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Boy Iman dibebaskan pada kira-kira pukul 6 petang selepas tempoh remannya berakhir pada petang Rabu.

Beliau bagaimanapun berkata, kes masih disiasat dan kesemua mereka akan direman pada Khamis, di mana perintah tahanan untuk Boy Iman akan dipohon di Muar, manakala dua lagi suspek di Nilai.

Menurut Acryl Sani, jumlah laporan bertambah dari 188 kepada 201 berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources (SJKGR).

Beliau menambah, Boy Iman dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar (IPD) untuk direman bagi siasatan lanjut di sana.

“Kes masih disiasat. Pihak polis akan memanggil beberapa lagi individu untuk membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Acryl Sani berkata, kesemua laporan polis berkaitan kes penipuan tersebut dibuat di seluruh negara.

Terdahulu, kesemua suspek yang berusia antara 29 hingga 45 tahun direman selama dua hari bermula Selasa untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada Selasa, Acryl dalam satu kenyataan berkata, syarikat berkenaan yang menawarkan rumah kepada mangsa dengan harga sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi, bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan.

“Dalam tangkapan pertama, JSJK merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, 3 unit telefon bimbit, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

“Manakala, dalam tangkapan kedua, kita merampas dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen Syarikat Juta Kelulut Global Resources,” katanya.

Sumber: mStar Online
Foto: Sumber Google