Usahawan kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Datuk Seri Vida (DSV) melancarkan muzik video lagu I Am Me yang mencecah kos hampir RM1 juta.

Sebagai gimik, DSV yang melancarkan muzik videonya di Red Box, Pavilion hadir ke majlis tersebut dengan memandu sendiri kereta Lamborghini miliknya yang berwarna merah jambu serta menyarungkan busana tidur rona sedondon.

"Saya rasa bersyukur kerana single pertama saya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Selepas video lirik mencapai lebih lapan juta tontonan, kini saya tampil pula dengan muzik video arahan pengarah terkemuka, Ghaz Abu Bakar'

"Ghaz berjaya memvisualkan idea saya dan proses penggambaran muzik video ini berjalan sangat lancar. Saya sangat berpuas hati dengan muzik video ini," katanya.

Tambah DSV, dia memberikan usaha terbaik agar percubaannya dalam bidang nyanyian diterima semua pihak, termasuklah pasaran antarabangsa.

"Kos untuk proses pembikinan muzik video ini mencecah hampir RM1 juta, termasuklah kos produksi, props, busana, aksesori dan sebagainya. Saya benar-benar serius untuk tampil dengan muzik video berkualiti dan menyimpan hasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa," katanya lagi.

Muzik video I Am Me bakal dimuat naik di laman YouTube DSV Entertainment.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Berita Harian