Pelakon Zizan Razak tidak menyangka selebriti siber popular Jepun, Hatsune Miku bakal menyanyikan lagunya di Konsert Hatsune Miku Expo 2017 Disember depan.

Menurut Zizan, dia menganggap perkara itu sebagai peluang keemasan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Masa ditawarkan untuk menyanyi bersama Hatsune Miku memang saya terus terima, tidak menolak langsung.

“Tipulah kalau tak terkejut sebab Hatsune Miku adalah artis siber antarabangsa dan dia juga mempunyai kelompok peminat yang cukup besar di seluruh dunia.

‘Bila dapat tahu dia akan nyanyikan lagu saya itu pun dah cukup luar biasa! Peluang keemasan seperti ini saya tak akan lepaskan.

“Rasa bersyukur sangat, saya anggap ini sebagai satu peluang untuk saya tembusi pasaran luar.

“Mungkin orang luar yang tidak kenal saya jadi apa salahnya ambil peluang ini untuk memperkenalkan diri saya dengan peminat antarabangsa pula,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai persiapan, Zizan berkata dia akan berhati-hati dengan penggunaan Bahasa Inggeris.

“Untuk persiapan, saya kena lebih berhati-hati untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris. Saya pun bukanlah bagus dan fasih sangat.

“Kami bakal menyanyikan lagu Chentaku manakala satu lagu lagi masih dalam perbincangan. Tak sabar dan teruja betul nak buat persembahan bersama Hatsune.

“Bukan apa, saya belum pernah mengalami pengalaman sebegini, buat persembahan di konsert hologram. Memang saya tak boleh nak bayangkan,” ujarnya yang bakal melakukan persembahan pembukaan konsert tersebut.

Zizan Razak juga bakal membuat persembahan pembukaan bersama bintang Youtube, Chaleeda Gillbert.

Konsert Hatsune Miku Expo 2017 (#MikuExpoMY) dibawa khas oleh Astro dengan kerjasama Crypton Future Media, INC.

Hatsune Miku Expo 2017 akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 16 Disember bermula jam 8.00 malam.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM169, RM269, RM339, dan RM439 (tidak termasuk GST).

Tiket akan mula dijual pada 8 Oktober bermula jam 10.00 pagi manakala untuk pembelian atas talian boleh didapati melalui www.myticket.asia.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini layari mikuexpo.com dan Miku Expo 2017 in Malaysia (facebook).

Foto: Instagram @zizanrazak869 / Google
Teks oleh: Mya Amri