Pengacara dan pelakon Nabil Ahmad mendedahkan dia bakal membuka bengkel lakonan dan pengacaraan bermula Disember tahun ini.

Kata Nabil, dia menetapkan harga mengikut kemampuan seseorang pelakon atau pengacara itu dan inisiatif itu diambil untuk meningkatkan kualiti pelakon dan pengacara tempatan.

"Saya utamakan bakat. Kalau tak ada bakat tapi ada rupa, apa salahnya masuk bengkel untuk belajar berlakon atau mengacara.

"Saya ada satu perancangan untuk mengadakan bengkel lakonan dan pengacaraan pada hujung tahun ini dengan tagline 'This Is Where You Learn, There Is The Place You Act.

"Pendekatan ini bukan saja-saja, saya mahu meningkatkan kualiti pelakon dan pengacara di Malaysia. Daripada bergaduh dan mengutuk sana sini lebih baik kita berusaha," katanya yang ditemui pada sidang media Ceria-iStar di Talent Lounge, Damansara baru-baru ini.

Kata Nabil, peserta bengkel lakonan atau pengacaraan boleh memilih tenaga pengajar yang dikehendaki untuk mengasah bakal masing-masing sebelum masuk ke set atau mengedalikan sesebuah acara.

"Seseorang pelakon itu boleh datang ke bengkel saya dua atau tiga minggu sebelum mula penggambaran dan boleh memilih tenaga pengajar yang dikehendaki misalnya Sharifah Amani, Faizal Hussein, Khir Rahman dan Que Haidar untuk mendapatkan tunjuk ajar.

"Belajar dengan skrip sebelum masuk ke set penggambaran pastinya akan lebih bersedia.

"Sama juga bengkel pengacaraan, anda boleh memilih untuk dilatih oleh Sharifah Shahirah atau Raja Azura misalnya sebelum mengemudi sesebuah acara.

"Mana tahu, anda pun boleh berkongsi pentas dengan mereka juga selepas itu," tambahnya.

Bengkel lakonan dan pengacaraan itu akan dilaksanakan di Gymba Studio, Damansara Utama miliknya dan yuran dikenakan sangat berbaloi serendah RM300.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @nabilzira