Bekas bintang Gegar Vaganza 2, Datuk Nassier Wahab memberitahu akan bertemu dengan Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Norul Iman untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

Duta syarikat perumahan mampu milik itu berkata, dia sendiri tidak menjangkakan perkara tersebut menjadi kecoh dan hanya mengetahui tentang penahanan Boy Iman daripada kakitangan DBI Technology.

“Saya masih belum berkesempatan berjumpa Datuk Boy, kerana baru pulang dari Mekah dua hari lepas dan keadaan kesihatan saya juga masih tidak mengizinkan.

“InshaAllah, bila kes ini reda saya akan bertemu dengan Datuk Boy untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya sendiri berasa sedih dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Astro Gempak ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

Ketika diminta mengulas mengenai penahanan Boy, Nassier menjelaskan dia dilantik sebagai duta DBI Technology, sementara penerbit filem 404 itu ditahan untuk membantu siasatan tentang syarikat lama iaitu, DBI Property.

“Saya berdoa kepada Allah SWT semoga segala kekusutan dan kekecohan yang berlaku ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya,” ujarnya.

Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman bersama dua lagi suspek utama ditahan di Ampang dan Setapak pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung penipuan jualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang dilakukan Syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Global Resources.

Hasil pemeriksaan yang dibuat di pejabat suspek di Wisma DBI, Ampang, polis merampas Nissan Fairlady dan BMW E92, tiga telefon pintar, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties.

Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Foto: Instagram Nassier Wahab