Selepas minggu lalu videonya mendapat respon daripada bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK), kini Kak Girl atau nama sebenarnya Nur Amira Maslan telah berjaya menarik perhatian seorang penyanyi terkenal dari Kuwait, Humood Alkhudher.

Menerusi laman Instagram, Humood telah memuji persembahan parodi (gerak bibir) Nur Amira bagi lagu nyanyiannya 'Kun Anta'.

"Saya menyukai video ini dan saya menyukai gaya dia yang langsung tidak menunjukkan sebarang ekspresi wajah!," tulis Humood di akaun Instagramnya.

Dalam video parodi itu, Nur Amira sekali lagi menampilkan suaminya, Mohd Hafizi Marzuki, 26, yang sedang memandu dengan wajah yang selamba ketika dia sedang menyanyi.

Video yang dimuat naik oleh Amira itu telah ditonton sebanyak 266 ribu di Instagram.

Minggu lalu, menerusi laman Twitter, SRK memuji persembahan parodi (gerak bibir) Nur Amira bagi lagu hindi, Bole Chudiya - sebuah lagu petikan dari filem Kabhi Khushi Kabhi Gham lakonan SRK.

Amira, yang tinggal di Johor Bahru, meraih populariti selepas aktif memuat naik video parodi sambil menari di dalam kereta.

Amira juga pernah menjadi juara cabaran lip sync atau parodi gerak bibir di sebuah stesen radio tempatan pada tahun 2016.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi