Pelakon cantik, Che Puan Juliana Evans bakal muncul dengan drama mini bersiri romantik komedi terbaru berjudul Mata Cinta.

Mata Cinta dibawakan oleh portal Gempak menerusi penerbitan Gempak Original Series yang akan disiarkan di bawah platform digital bermula Oktober ini.

Selain Che Puan Juliana, drama 10 episod ini juga turut dibintangi oleh Che Puan Syamim Farid, pelakon baru Julien Buteau, Aush Abdul Wahid, Dynas Mokhtar, Sasha Saidin dan ramai lagi.

Menurut Ketua Pemasaran Bahagian Melayu dan Gempak, Raja Jastina Arshad, pemilihan pelakon-pelakon baru dalam drama mini ini adalah berdasarkan bakat dan juga pakej yang ada dalam diri mereka.

“Kami mengambil langkah berani mempertaruhkan muka-muka baru dan percaya mereka mempunyai potensi tinggi untuk menjadi pelakon pelapis industri seni pada masa akan datang.

“Bakat-bakat baru ini juga bukanlah dipilih secara suka-suka sebaliknya melalui sesi ujibakat dan juga kesesuaian watak,” katanya.

Tambah Jastina lagi, Mata Cinta yang diarahkan oleh Shazreen Fazlynda ini turut mengambil inspirasi daripada drama-drama Korea.

“Kami menjadikan kejayaan fenomena drama-drama Korea yang menjadi kegilaan masyarakat dunia sebagai sumber rujukan utama dalam menggarap jalan penceritaan unik dan menghiburkan.

“Bercakap mengenai drama online, secara keseluruhan drama yang dipertontonkan menerusi platform Gempak sepanjang tahun 2017 sahaja berjaya mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 50 juta.

“Jadi kami berharap agar Mata cinta mampu memberikan kepuasan dan kelainan sekaligus sebagai penanda aras baharu kepada kejayaan drama digital Gempak,” jelasnya ketika sidang media drama mini bersiri Mata Cinta yang berlangsung di TGV One Utama, sebentar tadi.

Mata Cinta terbitan produksi Red Communications Sdn Bhd ini akan disiarkan secara ekslusif di platform digital www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak bermula 9 Oktober ini.

Sinopsis:

Mengisahkan tentang Matahari (Julian Evans) yang pulang bercuti dari England untuk menghabiskan cuti semesternya dengan menolong kakaknya, Cahaya (Sasha Saidin) menguruskan perniagaan salun rambut.

Detik perkenalan bersama jurujual kacak bernama Anaqi (Julien Buteau) bermula selepas mereka bertemu sewaktu Matahari membeli barang di Watsons.

Bagaimanapun, hubungan mereka diganggu oleh Ejay (Syamim Farid) yang turut jatuh hati dengan Anaqi.

Maka bermulalah pelbagai kisah lucu dan jalan cerita yang menarik berlaku antara Matahari, Anaqi dan Ejay.

Foto: Instagram Syamim Farid