Pelakon Beto Kusyairy mengakui tidak mahu memberi sebarang kenyataan mengenai kritikan yang dilemparkan oleh orang ramai kepada sesetengah pelakon yang digelar sebagai kayu.

Menurut Beto, dia lebih selesa untuk memberi terguran secara terbuka dan tidak mahu kenyataan yang diberikan itu dikaitkan dengan mana-mana artis.

"Sebenarnya saya tidak ada apa-apa komen mengenai perkara ini kerana bila saya memberikan pendapat, orang akan gunakan kenyataan saya untuk mengaitkan dengan orang-orang tertentu.

"Apa yang saya boleh cakap kepada pelakon-pelakon di Malaysia ini supaya melakukan sesuatu kerja itu dengan bersungguh-sungguh.

"Ini kerana kita harus memikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin dan sebagai pelakon mereka perlu ada inisiatif untuk pergi ke kelas.

"Supaya dengan ini mereka dapat memperbaiki kelamahan yang ada dan dapat menjadikan industri di Malaysia lebih baik daripada sekarang," katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaharu, Beto kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya Bisik Pada Langit (BPL) yang sedang ditayangkan di pawagam.

BPL merupakan sebuah naskah air mata yang mengangkat kisah agung seorang ayah terhadap anak perempuan kesayangannya.

Pelakon berpengalaman, Jalil Hamid, diberikan tanggungjawab memegang peranan utama dalam menjayakan filem ini sebagai ayah manakala pelakon popular, Ummi Nazeera, memegang watak seorang anak yang cukup ditatang serta dikasihi sepenuhnya oleh ayahnya.

Percaturan Kabir Bhatia menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskah ini dilihat berjaya apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton.

BPL memaparkan pengorbanan Rosli (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi anak kesayangannya itu pada setiap masa. Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi