Sejak ditayangkan pada 24 Ogos lalu, filem komedi aksi Abang Long Fadil 2 berjaya mencatat rekod baru penjualan tiket tertinggi iaitu RM17.9 juta.

Filem terbitan Skop Productions Sdn. Bhd. itu telah mengalahkan rekod tertinggi sebelum ini yang dipegang oleh filem Polis Evo dua tahun lalu; RM17.7 juta.

Menariknya, filem arahan Syafiq Yusof itu masih ditayangkan di 70 pawagam seluruh negara.

Malah, keterujaan penonton untuk mengulang tonton filem itu di pawagam masih belum berlalu.

Ada antara penonton yang menjangkakan filem Abang Long Fadil patut disambung ke trilogi.

"Abang Long Fadil 2 memang patut disambung lagi ke trilogi. Kalau boleh Fadil selepas ini terjebak ke kes lebih besar daripada mafia," tulis @AkimZone di Twitter.


Memetik kenyataan Datuk Yusof Haslam kepada Berita Harian, kejayaan kutipan tertinggi filem Abang Long Fadil 2 adalah bukti industri filem kembali bernafas.

"Saya melihat kebangkitan semula filem Melayu semakin positif dengan persaingan sihat dalam kalangan pengarah muda.

"Keputusan menerbitkan trilogi akan diputuskan tidak lama lagi. Syafiq juga bersemangat apabila filem arahannya menepati cita rasa penonton hari ini," katanya.

Filem Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, A Galak, Tania Hudson, Wak Doyok, Shuib dan Achey.

Tahniah produksi Abang Long Fadil 2!



Teks oleh: Amri Hassan