Pengacara dan pelawak Shiera atau nama sebenarnya, Sharifah Shahirah, 43, mengakui suka memberikan peluang kepada peserta lain dalam pertandingan Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

Di awal persaingan minggu keempat SSS2017, kumpulan Tenggiling Taiko sepakat mengundi Shiera untuk dipindahkan ke kumpulan lawan, Musang King sebagai ‘stabilizer’ kerana kekurangan ahli.

Di akhir rancangan malam tadi, Musang King yang sekali lagi kalah mencapai kata sepakat untuk menyingkirkan Shiera dari SSS2017.

“Sejujurnya, saya ada satu ‘habit’ semenjak kecil lagi. Jika saya menyertai mana-mana pertandingan, saya lebih gemar duduk memerhati dan memberi idea berbanding bermain.

“Saya lebih suka memberi peluang kepada peserta lain untuk bertanding. Perasaan itu terbawa-bawa sehingga kini.

“Saya bukannya gementar atau malas bermain. Saya boleh bermain dalam semua permainan tetapi saya rasa mahu memberi peluang kepada mereka untuk bermain dahulu,” katanya.

Tetap menyokong sahabat lain dalam SSS2017, Shiera melihat potensi Rahim Sepahtu sebagai pesaing terbesar dalam program ini.

“Saya rasa Rahim merupakan peserta yang sangat menonjol. Dia selalu memberikan idea yang baik dan dapat membaca corak permainan dengan pantas.

“Biarpun saya tersingkir, saya tetap memberikan sokongan dan berharap agar rakan-rakan lain dapat memberikan usaha sehabis baik untuk menghiburkan peminat,” katanya lagi.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @shieraijoy