Selepas bergelar juara rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005, kerjaya Mawi sebagai penyanyi kian berkembang hingga kini.

Kemudian, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani melebarkan sayap dalam bidang produksi menerusi syarikat penerbitan dan pengurusan majlis Mawi World Sdn. Bhd.

Sentuhan Mawi dalam bidang perniagaan bersama isterinya, Ekin Rahmat menerusi jenama UniQuein juga tidak menghampakan.

Baru-baru ini, Mawi dilantik pula sebagai penyampai radio berkonsepkan gaya hidup muslim moden kontemporari di bawah Astro yang akan memulakan siaran pada bulan Oktober.

Selepas filem Jin Notti dan Magika, awal tahun ini juga, Mawi kembali melangkah ke bidang lakonan menerusi filem Munafik 2 bawah arahan pengarah prolifik, Syamsul Yusof.

Apa lagi yang Mawi mahu?

"Selepas ini saya akan duduk di kerusi pengarah dan menerbitkan filem saya sendiri.

"Ya, memang tidak mudah namun Alhamdulillah saya dibimbing oleh individu yang hebat seperti Syamsul Yusof.

"Filem pertama saya bergenre komedi dan sekarang dalam proses pre produksi sejak Jun lalu. Insya-Allah akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

"Genre komedi memang sukar dan saya sendiri akui saya bukan seorang yang kelakar, tapi saya bertuah kerana mendapat pelakon hebat untuk filem ini," katanya yang turut mengeluarkan rangkaian minyak wangi kasturi, Calit.

Mungkinkah filem sulung Mawi itu akan dibintangi Hazama memandangkan Mawi pernah memberikan bayangan baru-baru ini mereka akan berkolaborasi dalam sebuah projek khas? Kita tunggu dan lihat.



Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @cahayaasmawi, Rojak Daily