Pelakon Beto Kusyairy mengakui penglibatannya dalam bidang lakonan bukan untuk mengejar populariti semata-mata.

Menurut Beto, dia lebih mementingkan naskah yang berkualiti supaya lakonan yang dibawakan itu dapat memberi kesan kepada penonton.

"Sejujurnya penglibatan saya dalam bidang seni ini bukan untuk mencari populariti sebaliknya ingin ketengahkan bakat yang ada.

"Saya dalam industri ini atas dasar minat dan tanggungjawab kepada kerja yang dilakukan, saya tak mahu jadi pelakon yang sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

"Saya nak kerja yang dilakukan ini akan memberi kesan dan manfaat kepada masyarakat serta pengajaran melalui naskah yang disampaikan.

"Saya tidak akan terima skrip yang asal boleh sahaja kerana keutamaan saya adalah kualiti penceritaan dan penyampai dalam sesebuah naskah," katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan terbaharu, Beto kini sedang sibuk mempromosikan filem terbaharu lakonannya Bisik Pada Langit (BPL) yang sedang ditayangkan di pawagam.

BPL merupakan sebuah naskah air mata yang mengangkat kisah agung seorang ayah terhadap anak perempuan kesayangannya.

Pelakon berpengalaman, Jalil Hamid, diberikan tanggungjawab memegang peranan utama dalam menjayakan filem ini sebagai ayah manakala pelakon popular, Ummi Nazeera, memegang watak seorang anak yang cukup ditatang serta dikasihi sepenuhnya oleh ayahnya.

Percaturan Kabir Bhatia menampilkan kesemua nama-nama hebat untuk naskah ini dilihat berjaya apabila barisan pelakon berjaya menjiwai watak masing-masing yang pasti mampu mengusik hati penonton.

BPL memaparkan pengorbanan Rosli (Jalil Hamid) sebagai seorang ayah yang sangat menyayangi anak perempuannya dan sanggup menunaikan segala kehendak permata hatinya ini bagi memastikan kebahagiaan dikecapi anak kesayangannya itu pada setiap masa. Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera) merupakan satu-satunya anak perempuan dari tiga beradik.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi