"Ampunkan Abang Long mak, abah. Abang Long menyesal...," kata Muhammad Shukrey Mohammad Nasir, 15, yang videonya memukul ibunya beberapa kali menggunakan tangan tular di laman sosial kelmarin.

Rakaman video itu memaparkan remaja terbabit memakai pakaian seragam sekolah dengan keadaan butang baju terbuka serta seluar terlondeh itu memukul sambil memaksa ibunya untuk memberikan wang.

Video berdurasi 42 saat itu menerima pelbagai reaksi netizen di laman sosial selepas tersebar kira-kira 6 petang, semalam.

Ibu Shukrey, Umisarah Manaf, 36, memaklumkan anaknya itu mengalami sedikit masalah pembelajaran dan tidak pernah berkelakuan begitu sebelum ini serta merupakan seorang anak yang sangat baik.

“Dia (anak) tak pernah buat macam tu sebelum ini. Ini kali pertama lah. Saya terkejut sebab dia buat macam itu sebab dia anak yang baik..dengar cakap. Saya tak sangka dia tiba-tiba jadi panas baran sampai macam itu sekali. Sebelum ini dia jentik cubit saya pun tak pernah.

“Saya tidak dapat bagi duit belanja sekolah kerana hanya ada RM17 suami saya bagi untuk buat belanja tambang bas pergi ke tempat kerja. Gaji pula lambat lagi.




“Syukrey, anak yang rajin mencari duit sendiri, selalu ada duit poket. Jual tin, botol, kotak..Tapi semalam dia tiada duit langsung, bila saya tak bagi, itu yang dia marah tu.

“Saya sudahpun memaafkan dia dan saya juga meminta maaf kerana tidak dapat memberinya belanja sekolah. Saya akan bagi dia lebih perhatian selepas ini dan menganggap perbuatan dia itu adalah satu kekurangan daripada 100 kebaikan yang dilakukan dan tidak mahu menghukum dia disebabkan satu kesilapan saja,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu bapanya, Mohammad Nasir Budori, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerja dan anak perempuannya yang menghantar video tersebut kepadanya.

“Anak saya yang perempuan hantar video itu kepada saya. Jadi saya hantar pula video itu pada guru anak sulung saya itu dengan niat mahu guru itu menasihatnya supaya jaga kelakuan tambahan pula sejak dua menjak ini anak kurang berminat untuk ke sekolah.

“Saya sendiri tak sangka video itu boleh jatuh ke tangan orang lain iaitu pengawal keselamatan di sekolah dan viralkan di Facebook sampai ada yang kecam nak datang pukul anak saya. Bukan anak saja, kami ibu bapa pun dipersalahkan termasuk neneknya yang separuh buta tak nampak apa-apa masa kejadian, pun disalahkan kerana tidak menghalang tindakan anak saya itu,” ujarnya.

Dalam pada itu jiran remaja terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Hajar, 35, dan Ahmad, 36, turut mengakui Shukrey seorang anak yang sangat baik malah mengagumi sikap remaja tersebut.

Hajar : Dia pendiam dengan orang yang dia tidak kenal. Tapi dia seorang yang peramah dan bercampur dengan semua orang di pangsapuri ini. Paling saya kagum dengan dia, setiap Isnin hingga Jumaat dia akan ke surau untuk berjemaah solat Subuh. Selesai solat, dia akan pergi ke sebuah rumah tingkat bawah dan akan memapah seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) untuk dihantar ke kereta lelaki itu. Apabila lelaki itu pulang dari kerja pada waktu petang, dia akan membunyikan hon, remaja itu akan datang untuk papah dia sampai ke pintu rumahnya.

Ahmad : Remaja itu rajin mencari duit poket. Kedai dan restoran berdekatan sini semua kenal dia sebab dia rajin mengutip botol, kotak dan tin untuk dijual. Kadang-kadang ada penduduk yang baru pulang membeli-belah, dia akan bantu angkat barang naik ke tingkat atas. Dia tidak kisah diberi upah atau tidak. Hanya orang yang kenal dia, akan terkejut bila tengok video itu.

Susulan kejadian berkenaan, polis turut mengambil keterangan daripada remaja itu dan menjalankan ujian air kencing namun remaja berkenaan disahkan bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, ujian air kencing sudah dilakukan terhadap remaja berkenaan ketika dia hadir bersama ibunya di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk memberi keterangan.

Katanya, rakaman insiden remaja itu memukul ibunya menjadi tular lalu dikecam oleh masyarakat dan siasatan lanjut berhubung insiden ini sedang dijalankan.

Foto/Video: Harian Metro