Peserta Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017), Danial akui berat badannya naik mendadak disebabkan kurang melakukan aktiviti kecergasan dan bersenam.

Danial berkata dia sudah mula berasa tidak selesa dengan perubahan bentuk badannya dan cepat berasa letih.

“Waktu sertai lawak solo, berat saya adalah 68 kg tetapi sekarang memang saya akui naik mendadak sehingga 92 kg.

“Berat mula naik sejak bergelar penyampai radio ERA dan saya juga lebih banyak habiskan masa di dalam konti dan kurang bergerak.

“Kalau dalu saya bekerja sebagai jurukamera memang sangat aktif. Perlu ke sana ke mari dengan mengusung kamera yang berat.

“Tetapi kini lain sungguh pekerjaannya, duduk di konti dan berceloteh. Saya akui memang rasa tak selesa sebab bila pakai baju semuanya sendat,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, Danial memberitahu sedang berusaha untuk menurunkan berat badannya secara perlahan-lahan.

“Memang rancang nak kurus balik tapi bukanlah mudah, ambil masa. Itulah orang kata nak naik senang sangat, bila nak turun memang liat.

“Memang ramai yang terkejut melihat perubahan fizikal saya dan sejujurnya ada yang tanya bila mahu kembali kurus.

“Saya sedang cuba turunkan berat badan dengan mengawal pemakanan, biarlah prosesnya lambat asalkan berjaya kurus kembali,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam perkembangan lain, Danial kini terlibat dengan program Super Spontan Superstar 2017.

Danial menyertai kumpulan Tenggiling Taiko yang dianggotai oleh Achey Bochey (ketua), Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Manakala King Musang yang dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry, Zulin Aziz dan Amy Mastura.

Jangan lupa saksikan SSS 2017 pada Jumaat ini, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124) atau menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Mya Amri