Terjun ke dunia hiburan Hollywood merupakan impian yang hampir ada pada semua selebriti tetapi bagi pelakon dan model Priyanka Chopra, ia merupakan sesuatu angan-angan yang telah menjadi kenyataan dalam hidupnya.

Bermula sebagai Ratu Cantik Dunia pada tahun 2000, Priyanka Chopra, 34, merasakan ia merupakan sesuatu yang indah dalam hidupnya apabila bermula daripada seorang pelakon dari Bollywood seterusnya berjaya melebarkan sayapnya untuk berlakon pada sebuah rancangan televisyen di Hollywood.

Lebih membanggakan dia turut memenangi anugerah aktres pilihan menerusi lakonannya sebagai Alex Parrish, seorang agen FBI dalam drama bersiri popular Amerika Syarikat, berjudul Quantico.

Kejayaan tersebut menjadikan Priyanka sebagai pelakon pertama dari Asia Selatan memenangi anugerah dalam People's Choice Award dan berjaya menewaskan antara nama besar seperti Emma Roberts, Jamie Lee Curtis, Lea Michele dan Marcia Gay Harden.

Yang terbaru, drama bersiri arahan Joshua Safran itu akan kembali dengan musim kedua selepas menerima sambutan hangat dan disiarkan lebih 200 buah negara seluruh dunia.

Quantico musim terbaru bakal disiarkan pada setiap Isnin, pukul 10 malam di AXN saluran 701 dan tayangan serentak di AXN HD, saluran 721.

Dalam pada itu menurut laporan Bombay Times, disebalik kejayaan Quantico Priyanka kesal kerana terpaksa menolak banyak tawaran filem selepas terpaksa memberi fokus kepada penggambaran musim kedua drama bersiri tersebut.

“Kerana kesibukan jadual penggambaran Quantico musim kedua, saya tidak dapat menerima banyak tawaran filem Hollywood dan juga Bollywood.

“Berlakon siri TV sangat memerlukan waktu dan tenaga yang banyak. Saya ini pelakon filem. Rasa kesal juga banyak tawaran filem terpaksa ditolak.

“Sebab itulah saya sedang memikirkan sama ada untuk serius terima tawaran siri TV lain setelah Quantico,” jelas Priyanka.

Kepada yang terlepas untuk menonton episod pertama Quantico Musim Kedua, lihat video di bawah:

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi