Seorang wanita yang aktif merakam video parodi, Kak Girl atau nama sebenarnya Nur Amira Maslan telah berjaya menarik perhatian legenda Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) menerusi video terbaharunya.

Menerusi laman Twitter, SRK memuji persembahan parodi (gerak bibir) Nur Amira bagi lagu hindi, Bole Chudiya - sebuah lagu petikan dari filem Kabhi Khushi Kabhi Gham lakonan SRK.

Dalam video parodi itu, Nur Amira turut menampilkan suaminya, Mohd Hafizi Marzuki, 26, yang sedang memandu dengan wajah yang selamba.

Nur Amira kemudian berkongsi tweet SRK itu dan menyatakan harapannya untuk menyanyi duet bersama pelakon itu di dalam keretanya.

“Tolong pertimbangkan saya sebagai heroin untuk filem anda yang seterusnya,” seloroh Amira di Facebook miliknya.

Amira, yang tinggal di Johor Bahru, meraih populariti selepas aktif memuat naik video parodi sambil menari di dalam kereta.

Amira juga pernah menjadi juara cabaran lip sync atau parodi gerak bibir di sebuah stesen radio tempatan pada tahun 2016.

Sumber: Astro Awani