Penyanyi remaja, Irfas Haris akui terkejut dengan dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya sombong dan besar kepala.

Kata adik kepada penyanyi Amira Othman ini lagi, dia tidak faham mengapa isu sedemikian boleh timbul sedangkan dirinya tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa.

“Terus-terang saya terkilan apabila dilabel sombong. Selama ini saya tidak pernah mempunyai masalah dengan sesiapa.

“Tuduhan tersebut tidak berasas, itu sahaja yang boleh saya katakan. Saya sedih kerana cerita-cerita sedemikian akan merosakkan reputasi saya sebagai pendatang baru,” katanya.

Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Redha itu lagi, dia sentiasa mengelak dituduh sombong kerana sifatnya yang pemalu.

“Saya seorang yang pemalu dan kadang kala berdepan dengan isu keyakinan diri. Mungkin orang salah anggap dan kata saya sombong.

“Sedangkan saya tidak seperti itu, apatah lagi besar kepala,” ujarnya.

Irfan ditemui ketika Majlis Pelancaran dan Pembukaan Butik Farraly di Johor Bahru baru-baru ini.

Dalam pada itu, Irfan memberitahu bakal bekerjasama lagi dengan Haqiem Rusli selepas single keduanya, Pesan, ciptaan penyanyi itu mendapat tempat di hati peminat.



“Saya selesa bekerja dengan Haqiem kerana dia tahu apa yang sesuai untuk saya. Tambahan lagi, kami berdua berkawan baik, jadi saya tidak kisah terus bekerjasama dengan dia.

“Saya juga yakin dengan bakat yang ada pada Haqiem dan berbesar hati dapat menyanyikan lagu ciptaannya,” kata Irfan.

Lagu Pesan yang liriknya ditulis Ippo Hafiz itu telah ditonton lebih 6 juta kali di Youtube.

Sebelum ini, single pertama nyanyian Irfan iaitu Redha mencatat lebih 17 juta tontonan di YouTube.

Foto: Instagram Irfan Haris