Pelakon Kamal Adli akui tidak kisah jika dianggap ‘menikam belakang’ rakan-rakan sepasukannya di Super Spontan Superstar (SSS) 2017 untuk terus kekal dalam pertandingan tersebut.

Kamal berkata, tidak perlu bimbang dilabel sebagai pengkhianat kerana format permainan SSS memang begitu.

“Rasanya semua orang tahu, format permainan SSS memang kena ‘tikam belakang’ untuk mencari seorang pemenang.

“Saya pernah tersingkir di peringkat separuh akhir musim lalu, jadi pada untuk SSS 2017 saya akan bermain dengan bersungguh-sungguh supaya kawan-kawan dalam King Musang tidak menyingkirkan saya.

“Bohong jika saya kata tidak teringin mara ke peringkat akhir kerana rasanya setiap peserta yang masuk SSS 2017 semua nak menang,” katanya ketawa.




Kamal ditemui Astro Gempak selepas siaran langsung SSS 2017 di Dewan Percubaan, Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Kamal memberitahu dia bakal bergandingan dengan Emma Maembong dalam naskhah terbitan Suhan Movies & Trading berjudul Jangan Padam Rindu.

Drama 20 episod yang diangkat daripada sebuah novel itu akan memulakan penggambaran pada hujung bulan ini dan bakal disiarkan menerusi saluran TVi.

“Selepas bergandingan dalam drama Syurga Tanpa Cinta dan Jodoh Sebelah Pintu, saya dan Emma akan digandingkan sekali lagi.

“Rasanya, tidak perlu tanya lagi tentang ‘chemistry’ di antara kami,” seloroh Kamal.

Jangan lupa saksikan SSS 2017 pada Jumaat ini, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124) atau menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Adakah King Musang mampu menebus maruah mereka pada minggu ini dengan menewaskan Tenggiling Taiko?

Seperti penganjuran musim-musim sudah, Super Spontan Superstar 2017 masih meneruskan konsep ‘berhibur sambil beramal’ apabila pada setiap episod, juara mingguan akan mendermakan sejumlah RM5,000 kepada badan-badan kebajikan terpilih.

Juara akan membawa pulang RM100,000 beserta trofi. Naib juara akan meraih RM50,000 dan trofi manakala pemenang tempat ketiga akan memenangi RM25,000 dan trofi. Pemenang tempat keempat sehingga kelapan pula akan mendapat wang sagu hati bernilai RM5,000.00 setiap seorang.

Datuk AC Mizal diberikan mandat untuk menjadi pengacara Super Spontan Superstar 2017 manakala Amir Raja Lawak pula akan bertindak sebagai pengacara bersama.

Afdlin Shauki pula kekal sebagai komentator yang akan membuat ulasan ringkas mengenai persembahan setiap kumpulan sambil ditemani selebriti jemputan mingguan.

Foto: Instagram Kamal Adli