Penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim akui kagum dengan usaha selebriti yang mengambil pendekatan memulakan perniagaan sebagai pendapatan sampingan mereka.

Menurut Khatijah, selebriti yang ingin membuka perniagaan harus mempunyai ilmu pemasaran agar produk dijual itu akan mendapat sambutan daripada pembeli.

"Saya sebenarnya seronok bila lihat ramai orang terutama golongan selebriti mula menjinakkan diri dalam bidang pernigaan.

"Ini merupakan sesuatu yang bagus dan mereka harus mempunyai visi dengan apa yang ingin dilakukan dalam perniagaan.

"Mereka harus juga fokus kerana bagi saya populariti tidak menjamin sesuatu perniagaan itu untuk berjaya.

"Saya berharap agar pada masa akan datang lebih ramai anak melayu yang akan berjaya dalam perniagaan," katanya kepada Astro Gempak.

Khatijah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pembukaan Warung Tok Kat di Cheras Sentral, baru-baru ini.

Menurut Khatijah, Warung Tok Kat merupakan premis terbaharunya yang menawarkan sajian Melayu dengan harga sederhana.

"Warung ini untuk pelanggan yang mahukan restoran santai kerana ia sesuai dengan harganya yang sederhana kepada pelanggan.

"Kami juga turut membuka tiga kedai lain di Cheras Sentral seperti Kerinting Rambut Tok Kat, Kuih Muih Tok Kat dan Ais Krim Tok Kat," ujarnya.

Antara juadah disediakan di Warung Tok Kat ialah laksa Johor, tauhu telur, lontong, roti jala dan nasi lemak. Tidak ketinggalan, juadah Cina seperti yong tau fu dan dim sum.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi