Selepas mendirikan rumah tangga dengan usahawan terkenal Engku Emran, pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella lebih kerap meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti di Malaysia.

Malah, dalam perkembangan terbaharu Bella dilantik menjadi juri jemputan mingguan untuk rancangan pencarian bakat cilik Islamik, Ceria i-Star 2017.

Selaku juri jemputan atau dalam terma lainnya Juri Nusantara, sudah pasti komitmen pelakon Surga Yang Tak Dirindukan 2 itu diperlukan di Malaysia dalam tempoh yang lama.

Malah, sahabat rapat Bella sendiri, Melly Goeslaw pernah memberikan bayangan pelakon itu berkemungkinan besar akan menetap di Malaysia selepas mendirikan rumah tangga.

Mungkin menjadi Juri Nusantara untuk rancangan Ceria i-Star 2017 merupakan langkah sulung Bella untuk terus bertapak di Malaysia?

Rancangan Ceria i-Star 2017 mengetengahkan 11 peserta cilik dari Malaysia, Indonesia dan Brunei yang mempunyai pelbagai kebolehan daripada segi nyanyian, pidato, sketsa, taranum dan bermain alat muzik.

Ceria i-Star 2017 mengekalkan pelawak Nabil Ahmad dan penceramah bebas PU Yeop sebagai pengacara selain Dzawin dilantik menjadi pengacara bersama.

Manakala, Bella akan bergandingan bersama Ustaz Amin Idris dan Imam Muda Asyraf sebagai juri tetap.

Ceria i-Star 2017 akan mula bersiaran selama satu jam pada setiap Sabtu bermula 7 Oktober 2017 pukul 9 malam di Astro Ceria (611), Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @laudyacynthiabella