Pelakon Syafiq Kyle mengakui tidak mahu selesa dengan populariti yang diraih selepas membintangi drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer bersama pelakon baru, Hannah Delisha.

Syafiq atau nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 25, berkata namanya mula dikenali secara mendadak dan bimbang jika tidak dapat mengekalkan prestasinya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai dan tidak sangka masih ada yang inginkan kami untuk berlakon bersama dalam projek seterusnya.

"Saya tidak mahu terus selesa dengan apa yang diperolehi sekarang ini kerana perjalanan kerjaya saya masih jauh memandangkan usia masih muda lagi.

"Namun saya sebenarnya risau dengan populariti yang diraih kerana bimbang tidak dapat kekalkan prestasi diri.

"Berada pada tahap sekarang bukannya sesuatu yang mudah, kerana saya ingin kekalkan populariti ini untuk selamanya.

"Lagipun, bila sudah dikenali, secara tak langsung, orang akan perhati setiap gerak-geri yang dilakukan oleh saya," katanya kepada Astro Gempak.

Syafiq berkata demikian ketika ditemui pada ditemui pada program #SmileSelangor, di Black Box SACC Mall, Shah Alam, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi