Pelakon Noryati Talib atau popular dengan panggilan Makcik Petir dalam drama Dottie berada dalam keadaan koma selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Johor tengah hari semalam.

Menurut pengarah dan penerbit Shahrulezad Mohameddin yang juga merupakan anak saudara pelakon itu, Noryati dirujuk di hospital berkenaan selepas mengalami sesak nafas.

“Pada mulanya, Mak Uda (panggilan Noryati) mendapatkan rawatan di hospital kerana bacaan gula yang tinggi akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya. Selepas pulang ke rumah, dia tiba-tiba mengalami sesak nafas dan keluarganya terpaksa membawa semula ke hospital.

“Namun keadaannya bertambah teruk dan doktor terpaksa membiarkan dia koma dan sekarang keadaannya sedang kritikal,” ujarnya kepada Kosmo!.


Tambah Shahrulezad, sebelum ini tahap kesihatan Noryati dalam keadaan baik meskipun tidak mampu berdiri dengan stabil.

“Kali terakhir saya jumpa dia pada sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu di kampung di Johor dan dia berada dalam keadaan sihat.

“Sebab itu saya sangat terkejut apabila Mak Uda dimasukkan ke hospital dan tidak sedarkan diri kerana dia merupakan ibu saudara yang paling saya rapat,” katanya.

Noryati yang merupakan suri rumah mula terjun dalam bidang lakonan menerusi telemovie berjudul Abang! Mak Panggil Balik pada 2007.

Namanya kemudian melonjak naik selepas membintangi drama Sindarela pada 2008 di samping pelakon Sharifah Amani dan Bront Palarae.

Noryati dikenali sebagai Makcik Petir selepas muncul dalam drama Dottie pada 2011 dengan memegang watak Cik Petir kerana suara terlampau kuat.



Sumber: Kosmo!, FB Shahrulezad Mohameddin
Foto: IG @makuda_yati