Adik pengacara terkenal, Datuk Mahadzir Lokman, 60, Ida memohon jasa baik semua pihak agar menghentikan khabar angin mengenai keadaan abangnya yang ditularkan telah meninggal dunia.

Menurut laporan Astro Awani, Ida memberitahu bahawa dirinya berasa sedih dan terkilan apabila tidak henti-henti menerima mesej takziah dari orang ramai.

“Saya tidak faham kenapa ramai orang sibuk menghantar mesej takziah. Sudahlah kami sedang risau dan sedih. Sekarang, kami terpaksa pula membalas semua mesej takziah yang diterima,” katanya.

Ida berkata ikon penyiaran itu ‘sedang memberi respon kepada rawatan’ walaupun dalam kadar perlahan.

“Semua tanda-tanda pentingnya adalah baik buat masa ini,” katanya.

Tambahnya, Mahadzir kini stabil dan masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM untuk pemantauan rapat oleh pakar.

“Berdoa sahajalah supaya beliau pulih dengan cepat,” katanya.

Sekitar jam 1.30 petang Isnin, mesej tentang kematian Mahadzir mula tular di media sosial.

Mahadzir dikejarkan ke PPUM sekitar jam 10 pagi Ahad selepas dijumpai tidak sedarkan diri di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor.

Adik Mahadzir, Danial ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad memaklumkan Mahadzir terkena jangkitan bakteria selepas pulang dari Jakarta, Indonesia atas urusan kerja tiga hari lalu.

Sumber: Astro Awani