Jutawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV) mengatur pertemuan untuk bertemu keluarga mangsa tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas mendengar rungutan waris yang terasa seperti diabaikan.

DSV atau nama sebenarnya Seri Datuk Seri Hasmiza Othman pernah melalui pengalaman pahit kehilangan dua anaknya dalam kebakaran di kediamannya di Ipoh, menyebabkan beliau dapat merasakan keperitan dilalui keluarga mangsa.

"InsyaAllah saya akan jumpa mereka di Surau Ittifaqiyah malam ini, sekembalinya saya dari urusan perniagaan di Tawau, Sabah.

"Saya dengar banyak rungutan daripada waris pelajar yang maut. Mereka dakwa seolah-olah diabaikan," katanya kepada mStar Online.

Lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, katanya, selain mendengar keluhan rasa keluarga mangsa, beliau berhasrat menyerahkan sedikit sumbangan kepada mereka.

"Kasihanlah andai dakwaan itu benar. Lagipun sebagai seorang ibu yang pernah melalui tragedi hitam ini, saya faham perasaan mereka.

"Saya sendiri pun mengambil masa yang agak lama untuk bangkit melupakan detik hitam itu daripada terus menghantui hidup saya," katanya.

Khamis lalu, Vida yang berkunjung ke pusat tahfiz tersebut meluahkan hasrat menjadikan anak-anak tahfiz yang terselamat dalam tragedi itu sebagai anak angkat.

Malah, pengasas produk kecantikan Qu Puteh itu turut berhasrat membawa 18 pelajar dan kakitangan pusat tahfiz tersebut untuk menunaikan ibadah umrah dalam tempoh terdekat.

Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau telah meminta pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood untuk menghubungi waris pelajar yang terkorban.

"Saya telah berhubung dengan ustaz dan minta dia aturkan pertemuan itu. Sekurang-kurangnya kita dapat dengar luahan hati mereka dan memulihkan hubungan antara kedua-dua pihak," katanya.

Baru-baru ini, satu portal berita tempatan melaporkan lebih 10 keluarga mangsa berkumpul bagi menuntut keadilan selepas seminggu tragedi kebakaran pusat tahfiz itu.

Pentadbir pusat tahfiz didakwa tidak memaklumkan kepada mereka mengenai aspek keselamatan bangunan itu seperti yang didedahkan pihak berkuasa.

Dalam kejadian 5.15 pagi pada 14 September lalu, seramai 21 pelajar dan dua tenaga pengajar maut dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan sementara pusat tahfiz terbabit.

Susulan itu, polis turut menahan tujuh remaja lelaki berusia 11 hingga 18 tahun disyaki membakar pusat tahfiz itu.

Sumber: mStar Online
Foto: Instagram DSV