Pelawak Shuib dari kumpulan Sepahtu dan Achey dari kumpulan Bochey sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri.

Nama mereka kini menjadi sebutan kerana bakat lakonan mereka menghiasi filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) yang sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Selain itu, mereka juga kini sedang berperang sesama sendiri dalam Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017) yang sedang ditayangkan di Astro Warna.

Astro Gempak menyenaraikan beberapa kelebihan Shuib dan Achey yang membuatkan mereka ‘berperang’:

1. Ketua
Shuib dan Achey masing-masing kini menjadi ketua untuk ‘kawasan’ atau kumpulan masing-masing dalam SSS2017. Shuib mewakili kumpulan King Musang manakala Achey pula mewakili kumpulan Tenggiling Taiko.

2. Lakonan
Selepas membuktikan mereka jaguh di pentas komedi, Shuib dan Achey membuktikan mereka mempunyai bakat lakonan tersendiri. Cuba lari dari watak komedi, Shuib dan Achey melakonkan watak serius dalam ALF2. Lakonan mereka mendapat pujian peminat yang nyata gembira dengan kelainan yang mereka tonjolkan.

3. Karakter
Dalam ALF2, Shuib membawakan watak sebagai seorang pegawai polis. Achey pula membawa watak sebagai seorang jurukamera stesen televisyen. Shuib dan Achey masing-masing mendapat pujian penonton yang menyaksikan ALF2. Namun begitu, watak Achey menarik perhatian kerana mengejutkan penonton filem tersebut di hujung filem. Kalau nak tahu, kenalah tengok!

Bagi peminat Shuib, jangan lupa untuk menyaksikan program terbaru, Konti Karat yang mula bersiaran jam 9.00 malam ini di Astro Prima.

Jangan lupa juga untuk menyaksikan Super Spontan Superstar 2017 jam 10.00 malam ini di Astro Warna dan Astro Warna HD!

Teks oleh: Kamaruddin Razal