Penyanyi Datin Alyah mengakui dia tidak pernah berputus asa untuk terus berdoa agar memiliki zuriat sendiri.

Selepas lima tahun mendirikan rumah tangga dengan pengarah muzik, Datuk Ramli MS, Alyah tidak menafikan mereka teringin untuk menimang cahaya mata seperti pasangan suami isteri lain.

"Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan semuanya berjalan lancar.

"Saya tidak pernah putus berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat sendiri dan saya percaya Allah adalah perancang terbaik.

"Mungkin belum rezeki kami lagi," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu bersama Farawahida, Mengapa Harus Aku, di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah Alyah, dia dan suami sering ditawarkan anak angkat namun enggan menerimanya kerana khuatir sekiranya gagal menjaga kebajikan mereka dengan baik.

"Ramai yang ingin berikan kami anak angkat tetapi saya mahu ada anak daripada darah daging sendiri.

"Dua anak angkat saya juga sudah besar dan tinggal di asrama.

"Saya tidak mahu menerima anak angkat buat masa sekarang kerana jadual kami sangat sibuk. Risau mereka terabai," katanya yang bakal muncul dengan single terbaharu Jutaan Purnama ciptaan Hael Husaini untuk runut bunyi drama bersiri Red Velvet.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @alyah81