Pasangan Kamal Adli dan Emma Maembong akhirnya mengaku mereka sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan selepas tiga tahun berkenalan.

Kamal Adli, 31, berkata meskipun sudah bersedia, namun dia masih menyerahkan jodohnya pada Tuhan.

"Terus-terang pada zahirnya saya memang sudah bersedia untuk berkahwin.

"Jika hendak diikutkan target saya untuk mendirikan rumahtangga adalah empat tahun lepas, namun jodoh belum tiba lagi hingga kini.

"Saya percaya pada jodoh dan seru, bila semua sudah bersedia dan jalan itu dipermudahkan insyaAllah kami akan kahwin juga.

"Lagipun saya kini perlu mempersiapakn diri serta mengumpul aset untuk menjamin masa hadapan," katanya kepada Astro Gempak.

Kamal dan Emma ditemui selepas pelancaran tudung My Sketchbook Shawl by Emma Maembong di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara Emma memberitahu dia sudah bersedia untuk berkahwin dan jika tiba masanya nanti pelakon itu akan mengambil keputusan untuk terus berkahwin tanpa mengikat tali pertunangan bersama Kamal.

"Kami sudah bersedia berkahwin dan saya serahkan pada jodoh bila masanya tiba nanti.

"Kami juga tidak akan mengadakan majlis pertunangan kerana pada saya bertunang itu tidak relavan lagi pada zaman sekarang yang mana kita semua sudah boleh berkenalan terlebih dahulu dengan pelbagai media yang ada.

"Jangan bimbang, bila kami benar-benar sudah ada tarikh untuk berkahwin nanti, kami akan umumkan juga kepada semua tanpa perlu berahsia," katanya lagi.

My Sketchbook Shawl By Emma Maembong memperkenalkan empat koleksi baharu iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

Teks oleh: Syafiqah Jalal