Bidang pembuatan sepatu semakin mendapat perhatian dan jenama tempatan juga kian berkembang menerajui pasaran fesyen.

Kulet antara jenama sepatu yang terawal berkembang di Malaysia.

Sempena Gempak Star Of The Week minggu ini, kami menampilkan pengasas bersama Kulet, Aina Syahirah yang akan berkongsi pengalaman dan kisah menarik menjadi usahawan muda.

1. Perubatan ke perniagaan

Aina Syahirah Azlin, 26, merupakan anak kedua daripada lima beradik.

Pada mulanya dia pernah mengikuti pra persediaan dalam bidang perubatan namun minatnya berubah ke arah Komunikasi.

"Jadi saya belajar dalam jurusan Komunikasi dan Pengurusan Media di Taylor's University dan telah bergraduasi beberapa tahun lalu.



"Laluan yang saya tempuh amat berbeza dan ini keputusan terbesar dalam hidup yang saya pernah ambil.

"Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya bekerja bersama sebuah jenama fesyen selama tiga tahun," katanya.

2. Kala jengking goreng celup coklat

Aina gemar mencuba benda baharu dalam hidup. Paling tidak boleh dilupai ketika dia berkunjung ke Kemboja dan singgah 'menjamu selera' di sebuah kafeteria serangga, Bugs Cafe.

"Kami mencuba pelbagai jenis hidangan pencuci mulut seperti kala jengking goreng dan beberapa jenis serangga yang dicelup dalam coklat.

"Ia menjadi pengalaman yang tidak boleh saya lupakan sampai bila-bila dan tidak akan sesekali mencubanya lagi," katanya yang baru membela seekor kucing bernama Bitsy.



3. Kulet

Kulet ditubuhkan pada tahun 2015 dan jenama sepatu itu ditubuhkan bersama kenalan rapatnya, Julie.

"Nama Kulet melambangkan jati diri sebagai rakyat Malaysia dan pada masa sama ia menjadi refleksi tona warna kulit kita yang menjadi pilihan dalam penghasilan setiap koleksi.

"Kulet akhirnya dilancarkan pada Oktober 2016 dan saya gembira serta bersyukur kerana mendapat sokongan sehingga sekarang," cerita Aina.




4. Victoria Beckham

Inspirasi Aina dalam dunia fesyen ialah selebriti terkenal antarabangsa, Victoria Beckham.

"Saya sangat menyanjungi keupayaannya menguruskan keluarga dan bisnes, dia berjaya!" ujarnya.

5. Kaki melancong

Aina juga seorang kaki melancong! Namun, minatnya itu terpaksa dikuburkan seketika demi memberikan fokus kepada Kulet.

"Sejak tahun lalu saya 'berehat' daripada melancong dan fokus kepada bisnes. Memang teringin namun tunggu dululah," kata Aina teruja.





Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @ainasyahirah