Pelakon Shaheizy Sam, 35, mengakui aktres Ayda Jebat, 25, membuatkan dirinya rasa seperti seorang remaja.

"Ayda seorang yang sangat ceria. Saya senang apabila bergandingan dengan dirinya. Filem Pinjamkan Hatiku merupakan naskah sulung gandingan saya bersama Ayda.

"Pada awalnya, saya agak was-was, adakah saya boleh membawa karakter dalam filem cinta yang selalu digemari oleh golongan remaja? Saya rasa saya sudah tua.

"Apabila melangkah ke set penggambaran dan berlakon dengan Ayda, saya rasa muda semula. Dia memberikan aura yang membuatkan saya rasa seperti seorang remaja," kata Sam kepada Astro Gempak.

Filem Pinjamkan Hatiku yang menggandingkan Sam, Ayda, Farid Kamil dan ramai lagi akan ditayangkan di pawagam bermula 30 November.

Dalam penggambaran lain, Sam juga tidak sabar untuk melangkah ke set penggambaran filem Polis Evo 2.

"Saya telah melakukan persiapan semenjak akhir tahun lalu. Sejujurnya, saya tidak sabar untuk melangkah ke set penggambaran Polis Evo 2. Saya berharap filem tersebut akan memberikan satu fenomena baru dalam dunia perfileman," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal