Juri tetap AF Megastar, Syafinaz Selamat akui bimbang melihat perbezaan jumlah AFUNDI daripada peminat berbanding markah diberikan juri.

Syafinaz berkata, meskipun undian peminat hanya 40 peratus namun ia memberi kesan kepada jumlah markah keseluruhan.

"Saya terkejut melihat keputusan AFUNDI yang jauh berbeza daripada markah juri kepada bintang AF Megastar.

"Bila melihat markah keseluruhan, apa yang saya boleh kata ia sangat berbahaya. Markah diberikan penonton boleh menggugat markah keseluruhan.

"Jika kami tidak hati-hati, markah penonton boleh menyebabkan bintang yang tak sepatutnya tersingkir.

"Jadi tugas kami adalah untuk menyelamatkan bintang yang layak mendapat markah tertinggi dalam persembahan mereka," katanya kepada Astro Gempak.

Konsert pertama AF Megastar Ahad lalu telah menyaksikan Adira dan Azhar tersingkir selepas mendapat markah terendah pada malam tersebut.

Sebanyak 60 peratus markah diadili juri tetap Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Datuk Norman Abdul Halim.

Selebihnya, 40 peratus adalah hasil undian iaitu AFUNDI daripada peminat.

Mengulas mengenai persembahan bintang AF Megastar dalam konsert pertama Ahad lalu, Syafinaz akui Marsha, Bob dan Idayu antara yang paling menyerlah.

"Saya boleh kata Marsha, Bob dan Idayu antara yang bagus pada malam ini.

"Idayu cuba melakukan sesuatu yang berbeza yang mana saya sendiri tidak menjangka tapi saya rasa dia boleh beri lebih lagi daripada malam ini.

"Sebagai penyanyi kadang-kadang kita boleh bawa banyak genre tapi dia perlu mengkhususkannya," katanya lagi


10 bintang yang tinggal ialah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Ewal, Sufi Rashid, Syamel dan Amir.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal