Finalis Hero Remaja 2017, Aiman Rahman, menjelaskan bahawa bapanya tidak begitu menyokong keputusannya untuk melibatkan diri dalam bidang hiburan.

Menurut Aiman Rahman, bapanya amat mementingkan pelajaran dan mahu memastikan masa depan anaknya lebih terjamin dengan mempunyai kerja tetap.

"Sebenarnya ayah mahu saya untuk mencari kerjaya yang mempunyai masa depan cerah tanpa mengambil sebarang risiko.

"Dia merupakan seorang insan yang lebih pentingkan pelajaran kepada anak-anak kerana jika ada pelajaran kami akan memperolehi kerja dan gaji yang bagus.

"Dia sebenarnya berbelah bagi untuk membenarkan saya memasuki petandingan Hero Remaja kerana risau saya tidak mampu untuk berjaya.

"Namun, dalam masa yang sama ayah ada juga menasihati saya supaya lakukan yang terbaik walaupun dia tidak begitu menyokong dengan keputusan yang dilakukan oleh saya.

"Jadi, saya akan melakukan yang terbaik dan buktikan pada ayah bahawa saya mampu berjaya dalam Hero Remaja 2017," katanya kepada Astro Gempak.

Aiman Rahman berkata demikian ketika ditemui pada rakaman program Hero Remaja yang diadakan di Karangkraf, Shah Alam, baru-baru ini.

Untuk mengetahui perkembangan terbaharu mengenai finalis-finalis Hero Remaja, jangan lupa saksikan rancangan Hero Remaja 2017, setiap hari Khamis pada pukul 9 malam, di salauran Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).

Sementara itu, penonton juga boleh menyaksikan 'Hero Remaja x Astro Gempak' secara digital di laman web Astro Gempak.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi