Pelakon dan penyanyi Stephen Rahman Hughes menjelaskan dia masih mendapat tawaran berlakon dan membuat persembahan di Malaysia.

Bagaimanapun, dia terpaksa menolak beberapa tawaran yang diterima memandangkan komitmennya bersama produksi The West End, London dalam tempoh yang panjang.

"Cara bekerja di produksi luar tidak sama dengan Malaysia, di sana mereka mengikat pelakon dalam tempoh yang panjang.

"Misalnya sekarang saya sedang terlibat dengan pementasan Aladdin The Musical sejak setahun lalu, jadi komitmen saya memang ketat.

"Tetapi, saya akan pulang ke Malaysia untuk penggambaran sebuah filem tahun depan, naskhah itu memang hebat dan saya tidak sabar untuk kembali ke set penggambaran," katanya ketika ditemui di Enfinity Academy, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Stephen berada di Malaysia selama seminggu selaku jurulatih bengkel pergerakan khas untuk pementasan Ola Bola The Musical.

Selepas tamat urusannya, pelakon filem Hikayat Merong Mahawangsa itu akan pulang ke United Kingdom untuk melunaskan baki pementasan teater muzikalnya dan kembali ke Malaysia pada November depan untuk latihan tarian selanjutnya.

Ola Bola The Musical akan dipentaskan di Istana Budaya pada Februari 2018 untuk maklumat lanjut layari www.olabolamusical.com.

Teks oleh: Amri Hassan