Penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim mengakui kagum dengan populariti dan kejayaan yang diperolehi oleh penyanyi muda dalam bidang nyanyian.

Menurut Khatijah, sebagai orang yang berpengalaman dalam industri, dia menasihati penyanyi muda agar mempunyai target untuk kekal relevan dalam bidang yang diceburi.

"Saya rasa gembira kerana industri muzik tanah air kini mempunyai ramai anak muda yang berbakat dan popular.

"Ini merupakan sesuatu yang membanggakan namun apa yang penting adalah bagaimana mereka hendak kekalkan nama dalam industri.

"Nasihat saya untuk penyanyi muda sekarang adalah mereka harus pastikan apa yang dilakukan perlu ada target kerana itu mementukan hala tuju yang ingin dicapai.

"Bila dah ada tujuan, sudah pasti ia akan mendorong kita untuk lakukan yang terbaik dalam kerjaya seni," katanya kepada Astro Gempak.

Khatijah berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pembukaan Warung Tok Kat di Cheras Sentral, baru-baru ini.

Menurut Khatijah, Warung Tok Kat merupakan premis terbaharunya yang menawarkan sajian Melayu dengan harga sederhana.

"Warung ini untuk pelanggan yang mahukan restoran santai kerana ia sesuai dengan harganya yang sederhana kepada pelanggan.

"Kami juga turut membuka tiga kedai lain di Cheras Sentral seperti Kerinting Rambut Tok Kat, Kuih Muih Tok Kat dan Ais Krim Tok Kat," ujarnya.

Antara juadah disediakan di Warung Tok Kat ialah laksa Johor, tauhu telur, lontong, roti jala dan nasi lemak. Tidak ketinggalan, juadah Cina seperti yong tau fu dan dim sum.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi