Kekasih Muda 3 Tahun, Mia Ahmad Terpikat Sikap Matang Izham

20 Oktober 2016. 11.36 AM
99,261
Hiburan
Kekasih Muda 3 Tahun, Mia Ahmad Terpikat Sikap Matang Izham

Pelakon drama bersiri Hati Perempuan, Mia Ahmad atau nama sebenarnya Shamiha Ahmad Baderi, 28, terpikat dengan sikap matang penjaga gol kelab bola sepak negeri Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan, 25.

Walaupun Izham tiga tahun lebih muda dari Mia, aktres berhijab itu gemar dengan karakter Izham yang memahami dirinya.

"Dia seorang lelaki yang bersikap matang. Walaupun kami berbeza usia, saya merasakan yang umur bukan penghalang untuk kami menjalin hubungan.

"Izham sangat memahami saya dan kerjaya saya sebagai seorang selebriti. Sepanjang setahun mengenali Izham, semuanya baik-baik sahaja," kata Mia kepada Astro Gempak.

Mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan Izham, Mia tidak akan tinggalkan dunia lakonan walaupun selepas berkahwin nanti.

"Dunia lakonan menjadi minat saya dan saya rasakan kerjaya ini sudah sebati dengan diri saya. Selepas berkahwin nanti, saya akan tetap terus berlakon.

"Izham juga tidak mempunyai sebarang halangan. Saya juga memahami kerjaya Izham sebagai seorang pemain bola sepak," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Skrin 2016 (ASK 2016) pada Rabu.

Telefilem lakonan Mia bersama Amyza Aznan, Syazwan Zulkifli dan Aeril Zafrel, Ku Haramkan Susu Itu tercalon dalam kategori Drama Terbaik.

ASK 2016 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 18 November ini, bermula jam 9.00 malam di TV3.

Teks Oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen