Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui tujuan utamanya bergelar sebagai seorang anak seni bukan untuk meraih populariti.

Menurut Sufian, 25, dia tidak memandang populariti sebagai perkara utama sebaliknya ingin mengetengahkan bakatnya dalam industri seni suara.

"Saya minat muzik bukan kerana ingin mengejar populariti sebaliknya saya mahu menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan dapat mewarnai industri muzik di Malaysia.

"Saya tidak pernah tertekan soal populariti sebaliknya saya mahu lebih fokus kepada karya yang dihasilkan kerana itu merupakan minat saya sejak kecil lagi.

"Sebagai penyanyi saya mahu ketengahkan bakat yang ada dan cuba memperbaiki diri supaya nama saya kekal relevan dalam industri.

"Meskipun ada yang mengkritik namun saya anggap perkara itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus maju pada masa akan datang melalui lagu-lagu yang dihasilkan," katanya kepada Astro Gempak.

Sufian berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ulang Tahun ke-10 rangkaian restoran makanan Korea, Seoul Garden di Melawati Mall, Ampang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Sufian juga mengumumkan bakal bertunang dengan Elfira, 23, di kediaman keluarganya di Cheras, pada 6 Oktober depan.

Sebelum ini, Sufian dan keluarga telah menghantar rombongan merisik di rumah keluarga Elfira lebih tiga bulan lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi