Pelawak yang kini bergelar penyampai radio, Danial Zaini mengakui rasa gementar apabila beraksi di pentas Super Spontan Superstar(SSS2017).

"Perasaan saya bercampur baur, gementar ada, cuak pun ada. Beraksi di pentas SSS2017 bersama pelawak-pelawak berpengalaman membuatkan saya rasa kecil.

"Namun begitu, saya merasakan penyertaan saya dalam SSS2017 merupakan pengalaman baru yang sangat berharga untuk saya. Saya akan mencuba untuk melakukan sehabis baik agar dapat mewarnai lagi SSS2017," kata Danial kepada Astro Gempak.

Tambah Danial, penyertaannya dalam SSS2017 seperti mimpi menjadi kenyataan.

"Satu pentas dengan pelawak-pelawak senior di pentas SSS 2017 ibarat mimpi menjadi kenyataan. Selama ini, saya hanya melihat mereka bersaing menerusi kaca televisyen, kini saya berpeluang pula menyertai mereka," katanya lagi.

Dalam SSS2017, Danial menyertai kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey. Kumpulan itu turut dianggotai oleh Rahim Sepahtu, Sharif Zero, Mamak Puteh, Shahrol Shiro, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Kumpulan King Musang pula dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Amy Mastura dan Zulin Aziz.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal