Peserta Super Spontan Superstar 2017, Amy Mastura memberitahu insiden hampir terjatuh dari pentas ketika melakukan persembahan untuk segmen terakhir, Muzik Video Spontan itu bukanlah dibuat-buat.

Sebaliknya insiden itu berlaku secara spontan kerana terlalu fokus ketika melakukan tarian untuk lagu I Am Me nyanyian asal Datuk Vida.

“Alhamdulillah, saya pun tak sangka ramai yang sukakan persembahan tersebut dan komen-komen positif yang diberikan sedikit sebanyak memberikan semangat kepada saya.

“Secara jujurnyam sewaktu melakukan aksi berguling itu memang saya tak boleh nampak penghujung pentas.

“Waktu itu memang saya fokus mahu berikan yang terbaik untuk kumpulan, jadi bila tak boleh nak agak begitulah jadinya.

“Mujur saya sempat berhenti sebelum terjatuh, selepas daripada itu baru tersedar saya dah berada di hujung pentas,” katanya kepada Astro Gempak.

Amy telah menyertai kumpulan King Musang yang dianggotai oleh Shuib Sepahtu (ketua kumpulan), Shuk SYJ, Atu Zero, Fad Bocey, Kamal Adli, Fikry dan Zulin Aziz.

Manakala kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey dianggotai oleh Rahim, Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Daniel, Sharifah Shahira dan Ozlynn.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Mya Amri