Nama Farid Kamil tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia lakonan. Pernah beberapa kali merangkul anugerah pelakon lelaki terbaik, bakat Farid sering menjadi perhatian peminat dunia hiburan.

Isu pelakon kayu semakin hangat diperkatakan semenjak kebelakangan ini. Jika ada beberapa artis berpengalaman memberikan teguran kepada pelakon kayu, Farid mempunyai pendekatan berbeza.

"Bagi saya, pelakon baru harus bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum melangkah ke set penggambaran.

"Mereka harus diberikan peluang untuk mengasah bakat lakonan dan diberikan kesempatan untuk berlatih lagi bagi meninggalkan gelaran kayu itu," kata Farid.

Pandangan yang diberikan oleh Farid kepada pelakon baru nyata berbeza berbanding pandangan pelakon-pelakon lain yang kebanyakannya menegur pelakon yang disifatkan sebagai kayu.

"Saya juga bermula dari bawah. Di awal kemunculan, saya banyak belajar dari pelakon senior hebat seperti Erra Fazira.

"Mereka banyak memberikan input serta dorongan kepada saya ketika saya masih baru dalam dunia lakonan. Saya jadikan mereka 'role model' dan kini, saya melakukan perkara yang sama terhadap pelakon baru," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Trailer dan Runut Bunyi filem Pinjamkan Hatiku pada Selasa.

Menerusi filem arahan Osman Ali ini, Farid bergandingan bersama Ayda Jebat, Shaheizy Sam dan ramai lagi.

"Filem ini berkisarkan mengenai pengorbanan cinta tiga individu dan menampilkan jalan cerita berbeza. Saya berharap agar filem ini mendapat sambutan positif apabila ditayangkan nanti," katanya lagi.

Filem Pinjamkan Hatiku bakal menemui penonton di seluruh Malaysia bermula 30 November 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal