GV 3: Elak Makan Makanan Segera, Rahsia Awet Muda Zarul

20 Oktober 2016. 3.10 PM
44,053
Hiburan
GV 3: Elak Makan Makanan Segera, Rahsia Awet Muda Zarul

Bintang GegarVaganza 3 (GV3), Zarul atau nama sebenar Zarulkefli Husin 43, mengakui elak makan makanan segera dan siap diproses seperti ikan tuna dalam tin, sosej dan nuget untuk kekal awet muda.

Zarul berkata, makanan-makanan tersebut boleh menyebabkan berat badannya bertambah dan membuatkan penampilannya nampak sedikit berusia.

“Secara jujurnya saya memang elak makan makanan yang telah diproses mahupun makanan segera dan itu adalah petua awet muda saya.

“Usia dah meningkat, metabolisme dah menurun jadi kenalah elak makanan yang boleh merosakkan badan.

“Kalau dah terpaksa saya akan makan disebabkan kesibukan kerja, tapi saya akan ambil dalam kuantiti yang sedikit,” katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Zarul lagi, sebelum ini dia pernah mengalami penambahan berat badan yang melampau iaitu sekitar 80 kilogram.

Selain mengawal pemakanan, dia juga akan keluar bersenam terutama di gym untuk kekal fit dan sihat.

“Sekarang saya kena kekalkan berat badan saya sekitar 60 hingga 65 kilogram, kalau tak jaga parah jadinya.

“Selain itu penyakit lain boleh datang terutama sekali penyakit tiga serangkai iaitu sakit jantung, diabetis dan darah tinggi,” ujarnya.

Minggu ini dalam konsert kedua GV 3, Zarul bakal mendendangkan lagu Untukmu Selamanya dari kumpulan Visa.

GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan boleh ditonton secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap Ahad, jam 9.00 malam.

Teks Oleh:Mohd Ishahrulddin Tahir






Artikel Berkaitan


Komen