Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, mengakui tertekan apabila sering ditanya mengenai soalan berhubung cahaya mata.

Menurut Noh, dia dan isterinya, Mizz Nina sentiasa redha dengan takdir dan berharap agar orang ramai mendoakan agar mereka dikurniakan zuriat tidak lama lagi.

"Saya sebenarnya tidak tertekan tentang soal anak namun bila ada orang bertanya mengenainya, itu akan memberi tekanan kepada saya.

"Ini kerana kawan-kawan saya yang lain sudah mempunyai zuriat mereka sendiri.

"Tak mahulah tanya soalan macam ini lagi kerana saya rasa macam nak menangis dan saya berharap agar semua dapat mendoakan agar kami dimurahkan rezeki," katanya kepada Astro Gempak.

Noh berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Jelajah Album Angin Kencang, di Warner Music, Petaling Jaya, pada Selasa.

Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 1 Julai 2011 di Ukay Heights, Ampang, Selangor.

Bercerita mengenai Jelajah Album Angin Kencang, Noh berkata, ia akan bermula di selatan iaitu di Pasar Karat, Johor Bharu pada 17 September dan Taming Sari, Melaka (14 September).

Manakala, di Utara pula di Padang Kota Lama, Pulau Pinang (16 September) dan Gerbang Malam Ipoh (17 September).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi