Penyanyi Sufi Rashid tidak menafikan berkat doa ibu, dia berjaya terpilih sebagai 12 bintang AF Megastar pada Ahad lalu.

Sufi berkata dia bersyukur kerana hubungan dengan ibunya, Irma Suriana Mahamud sudah kembali berbaik dan sentiasa mendapat sokongan dalam kariernya.

"Saya bersyukur apabila dipilih antara top 12 yang akan menyertai AF Megastar.

"Saya kira ini hadiah paling bermakna buat ibu saya sempena hari jadinya hari ini (Ahad lalu).

"Dia datang ketika persembahan saya pada Konsert AF Megastar Homecoming bahagian pertama minggu lalu dan sentiasa memberi sokongan kepada saya.

"Alhamdulilah hubungan kami sudah berbaik walaupun masalah itu sentiasa ada tetapi ia dapat diredakan dengan baik.

"Saya anggap ini adalah sebahagian daripada berkat doa ibu juga," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Sufi, 11 bintang yang lain turut mara ke AF Megastar adalah Syamel, Indah, Idayu, Bob, Marsha, Amir Jahari, Adira, Shahir, Amir, Azhar dan Ewal.


Bagaimanapun, Sufi memberitahu dia tidak menyangka akan terpilih dalam AF Megastar dan akui persembahannya terdapat kekurangan.

"Secara jujurnya saya sendiri tidak menyangka yang saya boleh terplilih kerana masa membawa lagu Wanita Terakhir itu memang ada kekurangan.

"Malah tak sangka juga bintang-bintang lain melakukan persembahan yang hebat-hebat belaka.

"Saya bersyukurlah apabila diberi kesempatan ini, saya janji akan berikan yang terbaik," katanya lagi.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com


Teks oleh: Syafiqah Jalal