Pelakon dan penyanyi Alif Satar mengagumi sikap profesional yang ditunjukkan oleh aktres dan pengacara Neelofa.

Alif dan Neelofa kini sedang giat menjalani penggambaran drama bersiri adaptasi novel Red Velvet karya penulis Acik Lana.

Drama bersiri tersebut bakal ditayangkan di Astro Ria dan Astro Ria HD.

"Saya mempunyai jadual yang sibuk, begitu juga dengan Neelofa. Namun begitu, saya sangat kagum dengan komitmen yang ditonjolkan oleh Neelofa.

"Dia memberikan sepenuh fokus dalam bidang lakonan serta mahu orang ramai menerima dan memandang serius kehadirannya sebagai seorang pelakon.

"Saya nampak usaha dan kesungguhan Neelofa dan saya sangat hargai kerjasama yang dia berikan sewaktu di set penggambaran. Komitmen Neelofa membuatkan kerja saya lebih mudah," kata Alif ketika ditemui di sebuah majlis bertemu peminat di Makan Kitchen, Intermark pada Sabtu.

Dalam majlis tersebut, Alif menghabiskan masa dengan peminat-peminat bertuah yang menyertai pertandingan anjuran Astro Circle bersempena tayangan Memori Pajeri Nenas di Astro First baru-baru ini.



"Alhamdulillah, peminat saya memberi respon positif tentang lakonan saya dalam Memori Pajeri Nenas. Saya rasa sangat bertuah serta gembira dapat bekerja dalam produksi tersebut dan menantikan peluang yang lebih baik di masa akan datang," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @alifsatar & @neelofa