Penyanyi dan penulis lirik Aizat Amdan mengakui tidak dapat menyertai program nyanyian, AF Megastar kerana mempunyai banyak perancangan bersama pihak pengurusan baharunya, Warner Music Malaysia.

Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 28, berkata, dia menolak untuk menyertai program AF Megastar kerana risau tidak dapat memberi komitmen penuh terhadap program tersebut.

"Ada juga ramai orang yang menghubungi saya supaya menyertai program tersebut namun saya tidak dapat untuk lakukannya kerana jadual yang agak padat.

"Saya terpaksa menolak menyertai AF Megastar kerana tidak cukup masa untuk memberi komitmen pada program tersebut dan sudah mempunyai pelbagai perancangan selepas ini.

"Perkara ini dilakukan kerana saya tidak mahu memberi sebarang masalah kepada mana-mana pihak termasuk diri saya sendiri," katanya kepada Astro Gempak.

Aizat berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Vlog dan muzik video Jangan Menangis di Warner Music Malaysia, Damansara, baru-baru ini.

Untuk menyaksikan pelbagai video yang dikongsikan oleh Aizat, anda boleh menontonnya di saluran YouTube @officialAizatAmdan.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung dilaman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi