Peserta Super Spontan Superstar (SSS2017) Rahim akui selepas berjaya menurunkan berat badan, dia kini tidak lagi menggunakan mesin khas untuk membantunya tidur.

Rahim berkata dia memerlukan mesin bantuan tersebut kerana mengalami penyakit Insomnia iaitu masalah kesukaran untuk tidur yang teruk.

“Sebenarnya ada mengalami Insomnia dan sebelum ini saya tidur pun bergantung dengan mesin khas yang membantu untuk tidur dengan lena.

“Bila dah berjaya turunkan berat, saya sendiri merasakan ada perubahan berlaku pada diri antaranya segi stamina dan juga waktu tidur saya.

“Saya dah tak berasa mengah bila menaiki tangga dan juga boleh bermain bola sepak sehingga habis perlawanan.

“Mula-mula rasa pelik juga dengan perubahan stamina, tapi bila tanya coach barulah saya faham semua ini berlaku disebabkan penurunan berat badan saya.

“Alhamdulillah, tidur saya sekarang juga sudah tidak lagi memerlukan mesin bantuan. Rupanya selama ini berat badan berlebihan juga merupakan salah satu faktor yang mengganggu sistem badan saya,” katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Rahim lagi, dia akan terus aktif melakukan senaman untuk menjaga kesihatan tubuh badannya.

“Saya mahu kurus sebab nak sihat, bukan ‘macho’. Banyak benda baik yang berlaku kepada saya jadi apa salahnya kalau saya memilih untuk terus lakukan senaman.

“Andai kata berat saya turun lagi, itu untuk kebaikan saya juga kan? Rasa lebih sihat, jadi rugi pula kalau tak ‘joging’ dan melakukan senaman di pusat kecergasan,” ujarnya.

Terdahulu, Rahim yang juga merupakan penyampai radio Sinar FM telah menjalani ‘MisiXLRahim’ sejak 24 Julai lalu dengat berat sebanyak 125kg.

Dalam perkembangan lain, Rahim kini sedang bersaing dalam program Super Spontan Superstar 2017.

Rahim menyertai kumpulan Tenggiling Taiko yang diketuai oleh Achey Bochey dianggotai oleh Sharif Zero, Shahrol Shiro, Mamak Puteh, Daniel, Shiera dan Ozlynn.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Foto: Instagram Rahim

Teks oleh: Mya Amri