Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui keputusan untuk berkahwin awal tidak akan membunuh kariernya sebagai penyanyi yang sedang meningkat naik.

Menurut Sufian, 25, dia percaya rezekinya akan semakin bertambah kerana perkara yang dilakukan itu adalah tuntutan agama.

"Berkahwin pada usia muda bukan merupakan sesuatu yang pelik kerana ramai juga orang sebenarnya yang menamatkan zaman bujang pada awal 20-an.

"Sebagai anak seni saya harus menghasilkan karya yang berkualiti supaya saya dapat diterima oleh peminat.

"Keputusan untuk berkahwin awal tidak akan membunuh karier nyanyian saya kerana semua rezeki telah ditentukan oleh Tuhan.

"Jadi saya cuma perlu berikan sesuatu yang terbaik kerana muzik itu misteri, kalau lagu yang dihasilkan bagus tentu orang akan suka," katanya kepada Astro Gempak.

Sufian berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ulang Tahun ke-10 rangkaian restoran makanan Korea, Seoul Garden di Melawati Mall, Ampang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Sufian juga mengumumkan bakal bertunang dengan Elfira, 23, di kediaman keluarganya di Cheras, pada 6 Oktober depan.

Sebelum ini, Sufian dan keluarga telah menghantar rombongan merisik di rumah keluarga Elfira lebih tiga bulan lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi